Thursday, October 28, 2010

Sumbangsih S. Othman Kelantan

Nama:                        Syed Othman bin Syed Omar Al-Yahya
Nama Pena: S Othman Kelantan
Tarikh lahir:  13 November 1938 Tebing Tinggi, Kemumin,
                      Kota Bharu, Kelantan.
Pulang ke rahmatullah:     31 Julai 2008 kerana serangan
                                            sakit jantung, paru-paru berair dan
                                            tekanan darah rendah.
Pendidikan
Beliau memperoleh Sarjana Muda Sastera (1979) dan Sarjana Sastera (1982/83) dari Universiti Sains Malaysia.
Pada tahun 1994/95 beliau memperoleh PhD dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Berkhidmat
S Othman pernah menjadi guru dari 1952 sehingga1979 dan kemudian menjadi tutor Bahasa Melayu Universiti Sains Malaysia selama dua tahun. Beliau berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pensyarah di fakulti Pendidikan/ATMA pada 1983 sehingga menyandang jawatan Profesor Madya sebelum beliau bersara pada tahun 1997. Kemudian beliau berkhidmat sebagai karyawan tamu di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (1997-1999).
Beliau juga pernah menjadi pensyarah sambilan di Pujangga Management Institute (Francais UUM).
Anugerah
Hadiah Peraduan Mengarang Novel DBP 1962, Pelangi (sagu hati),
Hadiah Sastera Malaysia 1972, 1973, 1974 (cerpen) dan 1984 (esei),
S.E.A. Write Awards (1990),
Pingat Bakti (PB) oleh DYMM Sultan Kelantan (1973),
Pingat Ahli Mangku Negara (A.M.N.) oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong (1974),
Anugerah Tokoh Sastera Negeri Kelantan (2003),
Anugerah Sastera Negara (2003).
Karya
S Othman Kelantan aktif menulis puisi, cerpen, novel serta esei/kritikan.
Beliau gemar meneroka persoalan yang mencakupi soal-soal kemasyarakatan, politik, agama, dan falsafah.
Novel
Beliau telah menghasilkan 12 buah novel dewasa dan empat buah novel remaja. Antara novel beliau yang terkenal ialah:
·         Pengertian (1966),
·         Pertentangan (1967),
·         Angin Timur Laut (1969),
·         Perjudian (1973),
·         Juara (1973),
·         Perwira (1980),
·         Ruang Perjalanan (1989),
·         Wajah Seorang Wanita (1990),
·         Ustaz (1991), Nagogho Astana (1997),  
·         Orang Kota Bharu (2003).
Cerpen
S Othman telah menghasilkan lebih 182 buah cerpen. Beliau juga menghasilkan tujuh buah kumpulan cerpen.
·         13 Cerpen S. Othman Kelantan (1970)
·         Surat (1979)
·         Ibu (1980)
·         Perkahwinan Rama-rama (1984)
·         Beberapa Pembetulan (1990)
·         Berjalan-jalan Di Sini (2004)
·         Pada Suatu Ruang (2005)
Cerpen-cerpen beliau telah diterbitkan dalam antologi bersama penulis-penulis lain sejak tahun 1963 lagi.
Selain itu, cerpen dan novel beliau pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis, Jepun, Inggeris, Rusia, Thai, Vietnam dan Cina.
Genre yang rencam 
Beliau telah menghasilkan banyak buku-buku akademik yang berkaitan tentang kesusasteraan.
Beliau juga menulis esei dan kertas-kertas kerja untuk beberapa pertemuan penulis bagi peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Jumlah hasil tulisan esei/kritikan beliau leibh kurang 364 buah kesemuanya.

Penglibatan dalam Persatuan
Beliau aktif melibatkan diri dalam kegiatan persatuan penulis. Beliau pernah menjadi Ketua Satu Persatuan Penulis Kelantan (PPK) (1973-1976), Persatuan Penulis Nasional, Penasihat PPK, dan Penasihat Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (Puspa).
Kepengarangan S Othman Kelantan
Karya-karya penulisan S. Othman Kelantan banyak berkisar kepada kemampuannya meneroka pemikiran dan permasalahan kesusasteraan Melayu dalam konteks pembangunan negara dan masyarakat serta pergolakan politik di tanah air. Malahan, kepengarangannya berdasarkan prinsip “Bukan cerita yang diutamakan tetapi mesej yang dipentingkan”. Berdasarkan dengan prinsip ini, banyak penulisan beliau yang menonjolkan ciri-ciri satira dan kritikan yang halus tetapi membina.
Beliau mengemukakan bagaimana Kritikan Melayu berfungsi berdasarkan kaedah penulis-penulis Melayu tradisional yang menunjukkan elemen kritikan yang halus dan berlapik tetapi penuh nilai estetika yang tinggi. Penulis klasik Melayu mengkritik dengan beradab, sopan, tepat dan tajam. Model kritikan tiga karya utama pengarang Melayu yang memperlihatkan bentuk Kritikan Melayu ialah Sejarah Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa dan Misa Melayu.
Penulisan S Othman Kelantan sarat dengan iktibar dan moraliti. Tiga bentuk satira yang menyerlah dalam penulisan beliau ialah
1.    satira berkias dan ibarat,
2.    satira sinis dan
3.    satira absurd.

1) Satira Berkias dan Ibarat
            S. Othman Kelantan banyak mengemukan kiasan dan ibarat dalam teks karyanya. Kiasan ini merupakan hikmah atau pengajaran daripada kejadian yang digambarkan. Manakala ibarat akan diperolehi dalam bahagian akhir sesebuah cerita yang diterapkan oleh S. Othman Kelantan. Kehadiran kesan kiasan dan ibarat banyak terdapat dalam tradisi hikayat. Kiasan muncul pada metafora atau perbandingan yang dipilih manakala ibarat pula adalah kesan pengajaran fungsi yang dipilih. Sebagai contoh,” Jika hidup tidak berbudi,ibarat pokok tidak berbuah”. Kiasannya terhadap kehidupan manusia yang tidak berbudi yang ibaratnya sama seperti pokok yang tidak berbuah. Dalam cerpen-cerpen karya S. Othman Kelantan, pembaca diketemukan sebuah cerita seperti sebuah refleksi daripada alam realismenya. Melalui refleksi ini pembaca akan menemui sindiran yang mengandungi kebijaksanaan dari pengajaran disebalik cerita yang disampaikannya. Sebagai contoh dalam cerpen “Dedalu” yang sinis menyindir untuk menyedarkan orang Melayu tentang keburukan kaum pendatang yang telah mendapat taraf kerakyatan. Cerpen ini menggambarkan kesan buruk kemasukkan bangsa asing dalam kehidupan masyarakat Melayu. Begitu juga dalam cerpen beliau yang bertajuk “Riang Bagaikan Burung-burung”. Keriangan burung-burung hanya pada sebuah impian hakikatnya keriangan tersebut hanyalah sekadar harapan semata-mata. S.Othman Kelantan juga mengibaratkan politik sebagai perlakuan laga lembu di dalam cerpen “ Laga Lembu “. Seluruh pengundi diibaratkan mangsa kepada politik. Sebagaimana dunia perlagaan lembu, pengikut yang bertaruh menjadi mangsa kepada juara lembu. Dirumuskan perlakuan laga lembu seperti perlakuan politik. Gaya kepengarangan sedemikian merupakan ciri penting yang dapat disaksikan oleh pembaca melalui penghasilan cerpen-cerpen beliau.
2)  Satira sinis
Seperti yang telah kita ketahui,  sinis bermaksud menyindir seseorang secara halus. Individu yang melakukan kesalahan tertentu akan terasa hati dengan  sinis yang dilontarkan seperti peribahasa ‘siapa makan cili, dia terasa pedasnya’. Cerita yang disampaikan secara satira tidak semestinya menggelikan hati tetapi cukuplah dengan kesan slapstik dan sinikal. Pengkritik harus memastikan kritikan yang dibuat dapat difahami dengan mudah oleh pembaca. Sebagai contoh, pukul anak sindir menantu. Perbuatan ini merupakan perlakuan sinis yang dilakukan untuk menyindir si  menantu yang melakukan sesuatu yang tidak disenangi oleh si mentua tersebut.
            Pemikiran sinis dan menyindir dilakukan secara halus supaya tidak terguris hati sesiapa sahaja yang mendengar atau melihat. Terdapat sesetengah individu tidak menyedari bahawa diri mereka telah disindir tetapi mengharapkan bagi mereka yang terasa disindir supaya berfikiran secara waras.
S.Othman Kelantan memilih watak-watak yang sesuai atau layak untuk menyindir dalam karya-karyanya. Walaupun agak sinis gaya penulisannya, pembaca masih dapat menerima akan kewajarannya. Gaya sinikal dapat dikesan dalam cerpen, “Kepuasan”. S.Othman Kelantan menerapkan kaedah satira mengherdik dalam cerpen ini. Dalam cerpen ini,  ibu bapa disindir kerana tidak menghargai kehadiran anak-anak, serta tidak memahami erti kasih sayang disebabkan perilaku anak yang liar. Beliau Berjaya menunjukkan rasa simpati terhadap kemelut psikologi anak-anak yang terbiar.
Di dalam cerpen “Tamunya Seorang Menteri” pula, sindiran yang diberikan bukan sahaja kepada menteri yang melanggani pelacur malahan kepada lelaki-lelaki hidung belang yang tewas mengawal nafsunya sendiri. Golongan ini sanggup menghabiskan duit demi untuk memuaskan nafsu masing-masing tanpa ada rasa takut kepada Tuhan demi seorang wanita pemuas nafsu yang bernama Jamilah. Golongan ini dikritik secara halus dari perspektif watak Jamilah.

3) Satira Absurd
Bentuk satira absurd merupakan satu penyembunyian makna. Hal ini menyebabkan ia disampaikan dalam konteks yang tidak jelas dengan imej-imej yang bukan bersifat luaran. Konteks yang diketengahkan ialah konteks dalaman atau batin yang lebih menekankan penggunaan dialog mental, monolog dan kejiwaan.
Umumnya, susunan sesuatu cerita  tidak mengikut aliran konvensional, iaitu melanggar peraturan skema berstruktur seperti tanpa plot atau tanpa watak yang sebenarnya. Walau bagaimanapun, masyarakat pascamoden telah menerapkan elemen ini bagi menolak peraturan atau pemikiran sinkronik modenisasi.
Karya-karya S Othman Kelantan banyak bercorak satira absurd di penghujung tahun-tahun 1970-an. Gaya penulisan aliran sebegini searus dengan pemikiran eksistensialisme dan absudisme yang juga “dianuti” penulis drama Nordin Hassan, Johan Jaafar, Dinsman dan penulis Indonesia Iwan Simatupang. Penulisan teknik satira absurd ini  menonjolkan pergolakan dalaman secara mental dan dialog dalam diri.
Sebagai contoh,aliran pemikiran  yang bersifat absurdisme ini muncul dalam cerpen beliau seperti cerpen ‘Aku Menemui Wajahku”, “Pada Suatu Ruang” dan “Suara Ombak”. Cerpen “Sang Ombak” ini mengisahkan tentang tradisi pemikiran Yunani yang diulang semula dalam nada yang berbentuk satira parodi dan ironikal. Cerpen ini juga mengisahkan tentang tragedi Icarus, Theseus dan Daedalus yang melepaskan diri dari labyrinth. Umumnya, mitos Yunani yang mengatakan mereka cuba mengelak dan berhadapan dengan serangan Minotaur. Kemudian, Icarus mati kerana kehangusan sayapnya yang terlalu terbang tinggi ke arah cahaya matahari. Walau bagaimanapun, apa yang hendak ditonjolkan oleh S.Othman Kelantan secara sinis ialah watak orang-orang yang lupa diri, terpukau dengan kebolehan sendiri yang akhirnya tewas dan gagal dan bernasib malang.

Kesimpulan
Sepanjang penglibatan S Othman Kelantan dalam dunia sastera dan berprinsip “Seni untuk Masyarakat”, beliau telah banyak membantu masyarakat membina minda yang berkeupayaan berfikir ke arah kemajuan dalam setiap aspek kehidupan. Cerpen-cerpennya yang sarat dengan iktibar dan moraliti dapat membentuk bangsa Melayu menjadi sebuah bangsa yang keluar daripada kepincangan dan mengecap kebahagiaan.